PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, March 31, 2009

Selangkah ke alam kerjaya

Penganugerahan ijazah kepada para graduan merupakan detik yang cukup bermakna dalam hidup mereka kerana selepas ini mereka bakal melangkah ke alam kerjaya yang sudah diketahui banyak cabarannya.

Menurut salah seorang penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian, Zaki Shahril, 23, penganugerahan ijazah tersebut bukan merupakan satu tiket mudah untuk menempuh alam kerjaya dalam era kemelesetan ekonomi ini.

Zaki yang memilih bidang pengurusan dalam pengajiannya tidak menyangka bahawa bidang pengurusan yang mempunyai banyak pilihan pekerjaan suatu masa dulu semakin diketepikan berikutan masalah kegawatan ekonomi yang melanda dunia hari ini.

Meniti alam pekerjaan bukanlah suatu perkara yang mudah tambahan beliau mendapat ijazah semasa dunia dilanda masalah kegawatan ekonomi. Beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan cuba untuk tidak memilih pekerjaan.

“Bukan graduan yang memilih pekerjaan, tetapi kadang-kadang majikan yang terlalu memilih pekerja”, ujarnya yang masih menanti respon positif daripada beberapa syarikat yang pernah ditemuduganya.

Bagi penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Kepujian, Mahani Mohammad, 24, beliau berasa bahagia dan gembira sekali kerana berjaya menamatkan pengajian.

Namun begitu, debaran dirasakan kerana terpaksa menghadapi alam kerjaya. Mahani yang sudah bekerja di sebuah syarikat di Bangi, Selangor menyifatkan alam kerjaya merupakan alam yang penuh dengan cabaran.

Beliau yang sebelum ini pernah menjalani latihan praktikal di Pelangi Berhad, Johor Bahru, merasa seronok bekerja di syarikat tersebut kerana dapat menimba banyak pengalaman baru.

Masalah politik organisasi menyebabkan beliau menolak tawaran untuk terus diserap bekerja di syarikat tersebut.

“Paling penting adalah cara kita memasarkan diri mengahadapi masyarakat sekeliling”, nasihatnya kepada bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian.

Masalah Bukan Penghalang Kejayaan

SINTOK: Penerima Pingat Emas Majlis Profesor dalam Majlis Konvokesyen kali ke-22, Raja Mahzan Shah Nazlin, 23, menyatakan beliau agak terkejut dan gembira dengan anugerah yang diterimanya.

“Sememangnya saya tidak terlalu mengharap tetapi bersyukur dengan apa yang saya perolehi pada hari ini. Walaupun banyak halangan yang harus saya tempuhi, tetapi itu bukan penghalang untuk saya Berjaya,” ujarnya.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur ini, kejayaan yang diraih adalah berkat usaha gigih dan juga semangat ingin berjaya yang dipupuk dalam dirinya sebaik sahaja melangkahkan kaki ke alam universiti.

“Sewaktu mula menjejakkan kaki ke UUM, saya tiada sesiapa. Hanya ayah tempat saya luahkan perasaan dan beliau sering membantu dan bersama saya dalam apa jua keadaan.”

"Dia menjadi ikon saya untuk terus berusaha dan sekarang, saya berbangga dengan hasilnya dan saya harap kejayaan ini dapat membakar semangat adik-adik saya yang lain.”

Menurutnya lagi, beliau tidak mempunyai jadual yang terlalu konsisten untuk belajar setiap hari kerana sering kali terbabit dengan aktiviti kolej terutamanya dalam Biro Kerohanian.

Selain mengamalkan waktu belajar secara teratur, beliau menegaskan bahawa tiada istilah belajar saat-saat akhir dalam dirinya.

"Saya akan bertanya kepada pensyarah sekiranya terdapat masalah dan fokus dengan apa yang diajar oleh pensyarah di dalam kelas,”

Tambahnya, setiap pelajar haruslah mempunyai semangat dan perasaan yang mendalam dalam pelajaran untuk menjadi insan yang berjaya dan cemerlang dalam pelajaran dan hidup.

Bagi merencanakan masa hadapannya, kini beliau sedang menanti waktu untuk menyambung pelajarannya dalam peringkat Doktor Falsafah di UUM setelah mendapat tawaran menyambung pengajian di sini.

Majlis Konvokesyen kali ke-22 yang berlangsung di Dewan Muadzam Shah bermula dari 29 hingga 30 April ini turut menyaksikan seramai 4,463 graduan menerima ijazah masing-masing termasuk sembilan graduan Doktor Falsafah, 565 graduan sarjana dan 3,889 graduan sarjana muda.

4, 463 Graduan UUM Terima Ijazah


SINTOK: Seramai 4,463 graduan dianugerahkan ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-22 Sidang Pertama Universiti Utara Malaysia (UUM) yang diadakan pada 28 hingga 30 Mac 2009.

Mereka terdiri daripada sembilan graduan Doktor Falsafah, 565 graduan Sarjana dan 3,889 graduan Sarjana Muda yang menerima ijazah mengikut sesi masing-masing di Dewan Mu’adzam Shah UUM.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor berkenan berangkat untuk menganugerahkan ijazah pada sesi pertama konvokesyen.

Sementara itu, Pro-Canselor Tun Dato’ Sri Dr. Ahmad Fairuz Dato’ Sheikh Abdul Halim pula mempengerusikan sesi kedua manakala sesi ketiga, keempat, kelima dan terakhir akan dipengerusikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Dato’ Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 40 mahasiswa memperoleh ijazah kelas pertama iaitu 20 mahasiswa dari College of Art and Sciences (CAS), 16 dari College of Business (COB) dan empat dari College of Law, Government and International Studies (COLGIS).

UUM turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pendidikan) kepada Tun Hajjah Rahah Tan Sri Haji Mohd Noah, Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Komunikasi) kepada Pengerusi Dewan Perhimpunan Melayu, Tan Sri Haji Khalid Abdullah dan Profesor Emeritus kepada bekas Profesor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof Dato’ Dr Mohd Nawi Abd Rahman.

Pengambilan Jubah Graduan...

SINTOK : Konvokesyen ke 22 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berlangsung bukan sahaja memberi seribu makna kepada graduan, malahan juga kepada setiap ahli keluarga.
Ketika tinjauan disekitar kawasan pengambilan jubah iaitu di Dewan Tan Sri Othman (DTSO), rata-rata para graduan kelihatan ceria dan beramah mesra bersama rakan-rakan seperjuangan yang lain.
Setiap graduan yang terlibat dengan majlis konvokesyen kali ini mula mengambilkan jubah mereka sejak awal pagi lagi bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini.
Menurut Azniza Ahmad Zaman, 24, graduan Sarjana Pengurusan Sumber Manusia, membentuk kumpulan yang baik dan belajar bersama-sama adalah cara berkesan dalam pembelajaran di universiti.
Tambahnya lagi, beliau berasa sangat gembira kerana berjaya menghabiskan pengajian dengan sempurna serta dapat memberikan kebahagian kepada keluarganya.
Bagi Farhana Wan Salleh, 24, graduan Sarjana Pengurusan Perniagaan, beliau tidak sabar menanti hari konvokesyen yang sebenar dan ingin bertemu dengan rakan-rakan yang lain bagi meraikan kejayaan mereka menamatkan pengajian.
“Syukur Alhamdulillah saya dapat menamatkan pengajian dengan jayanya dan dapat penuhi hasrat orang tua untuk mendapatkan segulung ijazah serta melengkapkan impian untuk bergelar seorang graduan”katanya.
Terdapat tiga sesi pengurniaan ijazah pada istiadat konvokesyen kali ini bermula pada 28 Mar dan berakhir 30 Mar untuk sesi yang terakhir.
Pada sesi pertama pengurniaan ijazah akan disempurnakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga merupakan Canselor UUM.

Kemeriahan majlis Konvokesyen ke-22 yang berlangsung selama seminggu lalu menjadi saat yang paling bahagia bagi 4463 graduan apabila memperoleh segulung Ijazah setelah bertungkus lumus selama bertahun-tahun mengharungi pelbagai cabaran. Tahniah ! Diucapkan kepada mereka semua. Semoga sentiasa berjaya dalam apa jua yang diceburi..