PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, October 9, 2012

BILANGAN GRADUAN PHD UUM BERTAMBAH


Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

UUM ONLINE: Bilangan graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Majlis Konvoksyen Ke-25 UUM pada 2012 meningkat lebih sekali ganda berbanding konvokesyen pada 2011.

Pada sesi pertama konvokesyen yang berlangsung pagi tadi, seramai 132 graduan telah menerima PhD dan 23 graduan menerima DBA berbanding pada tahun lalu, hanya seramai 69 orang menerima PhD dan empat orang menerima DBA.

Jumlah peningkatan ini dapat mengukuhkan hasrat UUM untuk menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka  dengan melahirkan ramai graduan yang memiliki PhD, selaras dengan ucapan Pro Canselor UUM, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh mengenai kepentingan rakyat berpendidikan tinggi.

Dalam ucapan itu, beliau turut menyentuh peranan yang  dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi supaya menarik lebih ramai rakyat Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dan mereka perlu diberikan insentif dalam bentuk pembiayaan.

Beliau berkata, peruntukan yang besar perlu diberikan kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukan hanya untuk membiayai kakitangan akademik belajar di luar negara tetapi juga menggalakkan mereka meneruskan pengajian dalam negara secara agresif.

“Usaha ini memerlukan mobilisasi besar-besaran dan ia mengambil masa kerana penyelidikan bukan bentuk perniagaan yang terbatas.

“Adalah diyakini  bahawa jika pendekatan ini berhasil, kita akan dapat memastikan ribuan tenaga pengajar di IPTA dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) mempunyai kelayakan PhD dan dapat menyelia sekurang-kurangnya tiga pelajar kedoktoran pada satu-satu masa,” 
ujar beliau ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Katanya lagi, peluang ini haruslah dibuka seluas-luasnya kepada semua kakitangan dalam sistem pendidikan dari universiti hinggalah ke kolej komuniti malah kepada para graduan yang mempunyai inisiatif untuk memajukan diri demi kerjaya dan juga masa depannya.

Ujar beliau lagi, banyak manfaat yang boleh diperoleh sekiranya dapat memperkasakan IPTA dan IPTS dengan program pascasiswazah yang berkualiti.

“Apabila kita telah menyasarkan 60 peratus jumlah tenaga pengajar di IPTA mesti mempunyai ijazah kedoktoran menjelang 2015, kita mungkin terpaksa meluaskan pendekatan sedia ada.
“Akhirnya ialah menghantar seramai mungkin tenaga akademik ke universiti di luar negara dan ini memberi implikasi kewangan yang sangat besar,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, 987 pelajar bergraduan pada hari ini, iaitu 407 orang pada sesi pertama sebelah pagi dan 580 orang pada sesi kedua sebelah petang.


EMPAT GRADUAN PhD KONVOKESYEN KE-25 HASIL SELIAAN NAIB CANSELOR UUM


Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Disebalik kesibukan mengurus tadbir Universiti Utara Malaysia (UUM), Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak terus menyelia pelajar PhD beliau sehingga berjaya mendapat Ijazah masing-masing.

Ini terbukti apabila empat pelajar PhD hasil seliaan beliau telah bergraduat pada sesi pertama Majlis Konvokesyen Ke-25 UUM yang telah berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.
Mereka terdiri daripada tiga orang pelajar antarabangsa terdiri daripada dua pelajar dari Indonesia, Ishak Tan dan Asgar Bixby dan seorang dari Thailand iaitu Munirah Yamirudeng.

Tajuk tesis yang dihasilkan Ishak Tan ialah, ‘Pengurusan Hutan Era Autonomi Daerah: Suatu Kajian Pentadbiran Pengawasan Di Provinsi Jawa Barat, Indonesia, Asgar Bixby, ‘Isu Regulasi dan Masalah Pelaksanaan Dalam Pengiriman Tenaga Kerja Indonesia ke Malaysia : Perspektif Indonesia (2002-2011) dan tesis Munirah Yamirudeng pula bertajuk, ‘Language as an Ethnic Denominator In Southern Thailand: A Case Study of Yala Province’.             
   
Manakala seorang lagi pelajar adalah Pengarah Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Fairol Halim dengan tajuk tesisnya, ‘Gelagat Pasca Pengundian di Bukit Gantang, Perak pada Pilihanraya Umum 2008 Berdasarkan Model Pemasaran Hirshman’.

Sementara itu, Dr Mohamed Mustafa melahirkan rasa gembira kerana dapat menyelia mereka sehingga tamat di sebalik kesibukannya sebagai Naib Canselor dan konvokesyen kali ini menjadi sangat bermakna kepada beliau dan pelajar PhDnya.

UNIVERSITI PERLU SENTIASA BERUSAHA KE ARAH MEMBUDAYAKAN INOVASI

Oleh: Nasiha Abdul Rashid
Gambar Oleh: Abdul Halim Husain

UUM ONLINE: Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh menyeru pihak pengurusan dan staf akademik universiti ini sentiasa meningkatkan usaha ke arah membudayakan inovasi bagi menjamin kedudukan UUM berada dalam kalangan kelompok Institusi Pengajian Tinggi (IPT) terulung di dunia.

Katanya, inovasi merupakan suatu perkara yang tidak dapat diabaikan sekiranya kita ingin terus maju ke hadapan.

“Kita dapat lihat banyak organisasi yang begitu aktif melipat gandakan usaha melakukan inovasi dalam produk dan servis yang ditawarkan kepada para pelanggan mereka.

“Lihat sahaja syarikat-syarikat gergasi seperti Samsung, Apple, Microsoft, Hyundai, Volkswagen dan lain-lain membuat inovasi radikal kini telah berjaya merubah gaya hidup manusia,” katanya ketika berucap di sesi kedua Majlis Konvokesyen Ke-25, UUM, hari ini. 

Beliau yang memetik kata-kata Pengerusi Apple Inc, Steve Jobs, “Innovation distinguishes between a leader and a follower”, menjelaskan pencetusan inovasi perlulah sentiasa disokong kuat oleh pihak pengurusan demi memastikan keupayaan sesebuah syarikat terus bersaing dalam persekitaran perniagaan yang sengit.

Katanya, keupayaan memanfaatkan kelebihan inovasi dapat memberi lebih ruang untuk berjaya dalam persaingan dunia perniagaan yang begitu mencabar.

“Inilah ciri yang perlu dimiliki oleh graduan masa kini untuk mencerahkan peluang bagi kalian menempatkan diri dalam alam kerjaya yang diidamkan.

“Pihak pengurusan dan semua staf UUM juga perlu sentiasa mengkaji peranan dan peluang dalam membuat inovasi secara berterusan demi menghadapi persekitaran yang sangat mencabar ini,” jelasnya.

Pada majlis yang berlangsung petang ini, seramai 508 graduan menerima ijazah masing-masing antaranya graduan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Pelancongan dan Hospitaliti), Sarjana Ekonomi, Sarjana Sains (Kewangan), Sarjana Sains (Perakaunan Antarabangsa), Sarjana Sains (Pengurusan), Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Sarjana Muda Kewangan dan Sarjana Muda Perbankan.   

IBU LEPAS BERPANTANG TERIMA PINGAT EMAS NAIB CANSELOR

Oleh: Nasiha Abdul Rashid
Gambar Oleh: Abdul Halim Husain

UUM ONLINE: Kecekalan dan pengorbanan seorang ibu yang sanggup tinggal berjauhan dengan keluarga untuk menyambung pengajian berbalas apabila dia menerima Pingat Emas Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen Ke-25, Universiti Utara Malaysia (UUM), hari ini.

Fairuzah Zaharos Mansor, 38, ketika ditemui selepas tamat sesi pertama konvokesyen itu menitiskan air mata kegembiraan kerana berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pengurusan Sumber Manusia dengan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.

Beliau yang menerima pingat itu daripada Pro-Canselor UUM, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh berkata banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi dan dirinya pernah beberapa kali hampir berputus asa tetapi dengan sokongan suami dan ibu, beliau nekad untuk teruskan pengajian.

Kata Fairuzah, cabaran paling besar buatnya adalah terpaksa tinggal berjauhan dengan suami dan anak-anak sepanjang tempoh pengajian iaitu selama setahun enam bulan.

"Saya terpaksa berkorban dengan tinggal menyewa di Changlun, Kedah dan berulang-alik dua minggu sekali untuk pulang menemui suami dan anak-anak di Shah Alam," ujarnya yang baru habis berpantang selepas melahirkan anak keempat, Mohammed Rashid Hakim Mohammed Reza yang kini berusia 50 hari.

Fairuzah yang merupakan Penolong Pendaftar Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), berjuang menghabiskan pengajiannya untuk memberi inspirasi dan menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.

“Saya bersyukur dan rasa bertuah mempunyai suami yang amat bertanggungjawab. Suami saya banyak mengambil alih tanggungjawab saya dalam hal menguruskan hal anak-anak,” katanya. 

Sementara itu, kegembiraan turut dikongsi pasangan kembar, Mohd. Hafizi Ahmad, 24, dan Mohd Hafiza yang masing-masing menerima Ijazah Sarjana Muda Perbankan dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi.

Mohd. Hafizi yang merupakan wartawan Kosmo! berkata, dia bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian bersama kembarnya, Mohd. Hafiza pada majlis konvokesyen yang sama.

"Walaupun belajar bersama, saingan untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan tetap ada dan kami jadikannya sebagai satu cabaran yang sihat," katanya yang memperoleh CGPA 3.18.

Manakala Mohd. Hafiza yang memperoleh CGPA 3.12 pula kini menjawat jawatan Eksekutif Projek Khas di International Institute of Plantation Management, iaitu anak syarikat UiTM.

Majlis Konvokesyen Ke-25 UUM hari ini telah berlangsung dengan sempurna apabila seramai 407 graduan menerima ijazah masing-masing pada sesi pertama dan 580 pada sesi kedua.

GRADUAN KERDIL BERJIWA BESAR


Oleh: Nasiha Abdul Rashid
Gambar Oleh: Abdul Halim Husain

UUM ONLINE: Dorongan kedua ibu bapa tersayang menjadi semangat buat dirinya meneruskan pengajian ke peringkat sarjana dengan cemerlang sebaik tamat pengajian Ijazah Sarjana Muda setahun yang lalu.

Nurul Akmal Ahmat Latpe, 24, merupakan graduan kerdil yang menerima Ijazah Sarjana daripada Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena Konvokesyen Ke-25, universiti ini.

Beliau yang menetap di Kulim, Kedah berjaya menamatkan pengajian Sarjana Pentadbiran Perniagaan dengan cemerlang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.79.

“Saya tidak pernah merasakan saya berbeza jika dibandingkan dengan insan lain. Bagi saya, faktor fizikal bukanlah penghalang untuk berjaya. Dorongan ibu bapa dan rakan-rakan amat membantu saya meneruskan pengajian ini,” katanya.

Anak keempat dari enam beradik ini menanam cita-cita sebagai seorang pendidik bermula dari bangku sekolah lagi kerana minat yang mendalam terhadap kerjaya tersebut.

“Dahulu saya ingin jadi cikgu, sekarang saya nekad untuk menjadi pensyarah kerana kedua-duanya adalah cita-cita murni untuk mendidik anak bangsa menjadi insan yang berilmu,” ujarnya.

Nurul Akmal yang kini sedang mengikuti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) dengan Petronas turut ditemani bapanya, Ahmad Latpe Abu Bakar, 58, ibu, Sharifah Wan Jusoh,54, kakak serta ibu saudara. 

Konvokesyen Ke-25 UUM bagi sesi ketiga dan keempat hari ini menyaksikan seramai 1,822 graduan menerima ijazah masing-masing.

39 KAKITANGAN JABATAN PENJARA TERIMA DIPLOMA SISWAZAH SAINS KOREKSIONAL


Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Seramai 39 kakitangan Jabatan Penjara seluruh Malaysia telah menerima Diploma Siswazah Sains Koreksional hasil kerjasama Universiti Utara Malaysia dengan Jabatan Penjara Malaysia, di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Program kerjasama antara dua pihak ini mengambil masa selama 9 bulan untuk tempoh pengajian dan merupakan satu wadah yang amat berharga kepada kakitangan penjara untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan prestasi diri selaras dengan kehendak prestasi jabatan berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Penjara (Pengurusan), KPj Wan Abdul Rahman Abdullah ketika ditemui berkata, dengan penerimaan diploma berkenaan ianya dapat meningkatkan taraf  dan kualiti kakitangan jabatan berkenaan.

“Malah, dengan diploma yang diperolehi mereka ini juga dapat mendorong rakan-rakan mereka yang lain untuk melanjutkan pelajaran.

“Kita juga berharap lebih ramai lagi kakitangan untuk melanjutkan pengajian mereka dalam usaha memotivasikan mereka serta meningkatkan taraf pendidikan mereka,” katanya selepas tamat sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-25 UUM.

Sementara itu, kakitangan Jabatan Penjara, Zulfakri Ahmad berkata, banyak manfaat yang diperolehinya sepanjang tempoh pengajian dan segala ilmu berkenaan dapat digunakan sewaktu bekerja.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada UUM, kerana hasil kerjasama antara universiti ini dan Jabatan Penjara banyak membantu meningkatkan ilmu pengetahuan saya,” ujar beliau.

Mona Azura pula berkata, kejayaan menamatkan pengajian dan memperolehi diploma ini merupakan satu kepuasan yang tidak terhingga buat dirinya dan keluarga.

“Saya berjauhan selama sembilan bulan dengan keluarga, ia merupakan cabaran yang cukup kuat sepanjang tempoh pengajian dan diharapkan kejayaan ini dapat memotivasikan anak-anak saya untuk belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak turut meluangkan masa untuk merakamkan ucapan tahniah kepada 39 kakitangan Jabatan Penjara

KESIBUKAN TIDAK HALANG LIMA KAKITANGAN PACE TERIMA PhD


Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Hairul Nizam Zahari

UUM ONLINE: Kesibukan bukanlah penghalang untuk meraih kejayaan, itulah ungkapan yang terkeluar daripada penerima-penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pada Majlis Konvokesyen Ke-25 Universiti Utara Malaysia (UUM).

Lebih menarik lagi, lima daripada penerima PhD yang disampaikan oleh Pro-Canselor, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh merupakan kakitangan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE) iaitu, Pengarah PACE, Dr Fairol Halim, Timbalan Pengarah (Unit Pengajian Luar), Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee Abdullah dan Timbalan Pengarah (Unit Kerjasama dan Kawal Selia), Dr Hasnizam Shaari.

Dua lagi penerima pula ialah, dua Pengurus Program iaitu, Dr Awanis Ku Ishak dan Dr Md Lazim Mohd Zin.

Dr Fairol ketika ditemui berkata, beban pentadbiran yang dipikul beliau dalam tempoh pengajian menuntut komitmen yang cukup tinggi untuk menamatkan pengajian.

“Ia adalah satu tempoh yang mencabar untuk membahagikan masa antara mentadbir dan menghabiskan pengajian dan pada masa yang sama juga saya turut mengajar.

“Saya bertuah, kerana Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak merupakan penyelia yang banyak membantu sekiranya saya berhadapan masalah.

“Walaupun Dr Mohamed Mustafa sibuk dengan tugasnya sebagai Naib Canselor, beliau akan memperuntukkan masa untuk meneliti tesis saya agar benar-benar mencapai tahap yang dikehendaki untuk memperolehi PhD,” ujar beliau ketika ditemui di pejabatnya, petang tadi.

Tajuk tesis yang dihasilkan beliau ialah,‘Gelagat Pasca Pengundian di Bukit Gantang, Perak pada Pilihanraya Umum 2008 Berdasarkan Model Pemasaran Hirshman’.

Sementara itu, Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee berkata, jiwa seseorang perlu kuat untuk menyiapkan PhD dan jangan sesekali berkata tidak.

“Sepanjang proses tersebut pelbagai perkara perlu dilakukan, antaranya saya terlibat dengan penyelidikan luar serta menjadi sekretariat tetap Majlis Profesor Negara (MPN) di bawah Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa.

“Dalam proses menyiapkan PhD perlu dibina melalui kekuatan diri pada Allah, sehingga pada satu ketika saya mencari kekuatan di Tanah Suci Mekah pada tahun 2010 ketika mengerjakan umrah,” katanya.

Dr Mohamad Ainudin Iskandar Lee telah di selia oleh Prof Emeritus Dr Ranjit Singh Darshan Singh dan Prof Dr Mohamad Hanapi Mohamad dengan tajuk tesisnya, ‘Kedinamikan Perniagaan Syarikat Cina Semenanjung Malaysia Era Dasar Ekonomi Baru’.

Dalam pada itu, Dr Hasnizam Shaari pula berkata, pada ketika ini PhD merupakan satu kemestian yang perlu ada pada setiap ahli akademik.

“PhD merupakan satu keperluan, jika kita berada di sektor korporat PhD kita akan kelihatan bersinar tetapi dalam kelompok akademik ia merupakan perkara biasa kerana ia merupakan satu keperluan,” katanya yang di selia oleh Dr Salniza Md Salleh dan Prof Madya Dr Zolkafli Hussin.

Katanya lagi, PhD yang diterimanya juga dapat memotivasikan anak-anaknya untuk belajar ke peringkat tertinggi.

Relationship between Internal Branding Practice, Brand Commitment and Employees’ Brand Citizenship Behavior’ merupakan tajuk tesis yang dihasilkan oleh Dr Hasnizam.

Sementara itu, Dr Awanis pula berkata, dalam menghasilkan PhD banyak mengajarnya erti sabar dan tabah.

“Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya banyak berkorban masa untuk keluarga dalam memastikan saya dapat menyiapkan tesis.

“Malah kita perlu positif sepanjang tempoh itu dan menerima kritikan dengan terbuka agar tesis yang dihasilkan itu menjadi yang terbaik,” ujar beliau.

Dr Awanis juga berkata, sepanjang proses menghasilkan tesis, beliau menjaga permakanan dan juga kesihatan dengan bersenam dalam memastikan tubuh badan sentiasa sihat.

Prof Madya Dr Najib Ahmad Marzuki merupakan penyelia Dr Awanis dengan tajuk tesisnya, ‘Personality, Occupational Stress and Wellness among Prison Officer: The Mediating Role of Self Efficacy and Perceived Fairness.

Sementara itu, Dr Md Lazim Mohd Zin pula telah diselia oleh Dr Faizuniah Pangil dan Dr Siti Zubaidah Othman dengan tajuk tesisnya, ‘Persepsi Sokongan Organisasi sebagai Perantara di antara Faktor Organisasi dan Gaya Kepemimpinan dan Pengekalan Pekerja Mahir Teknologi Maklumat di Malaysia.

MEMAHAMI ERTI KESYUKURAN BENTENG PERTAHANAN DIRI


Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil

UUM ONLINE: Pro-Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz berkata adalah penting bagi semua untuk memahami erti kesyukuran dan memiliki jati diri yang kuat agar jiwa dan pendirian tetap utuh serta teguh sebagai benteng pertahanan diri.

Katanya, sesuatu kebaikan sering dibalas dengan perkataan yang baik, yang indah dan luhur serta perbuatan yang menggambarkan pemberian itu diterima dengan penuh penghargaan, ikhlas dan terima kasih.

“Ramai dalam kalangan kita yang dikurniakan pelbagai nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Namun, ramai juga dalam kalangan kita yang gagal menzahirkan kesyukuran atas nikmat yang diperolehi,” ujar beliau yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah ketika berucap pada sesi kelima, Majlis Konvokesyen Ke-25 UUM, pagi tadi.

Tunku Puteri Intan Safinaz juga berkata, antara langkah dan kaedah yang dapat membantu dalam membentuk dan mengembalikan jati diri adalah dengan menghayati lima prinsip Rukun Negara, mematuhi Perlembagaan Persekutuan, menjiwai maksud lagu Negaraku dan menghormati Jalur Gemilang bagi mengembalikan rasa cinta kepada negara.

“Selain itu, dengan memahami pahit manis sejarah yang berlaku juga memberi kita pengertian yang lebih jelas mengenai kepentingan dalam menjaga keamanan dan keselamatan tanah air serta kedaulatan negara.

“Oleh yang demikian, bersyukurlah kerana kita semua bertuah dilahirkan dalam keadaan dan situasi negara pada hari ini yang aman, makmur, merdeka dan sejahtera,” ujar beliau.

Selain itu, Tunku Puteri Intan Safinaz turut mengajak semua graduan untuk sama-sama terbabit dalam aktiviti kesukarelaan dengan menyertai Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan atau kelab yang menyediakan pentas untuk sama-sama menyumbang aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

“Selain itu,  saya juga menggalakkan graduan yang sudah menamatkan pengajian pada hari ini supaya membuat kelas tuisyen atau kelas bimbingan bahasa Inggeris bagi memantapkan lagi penguasaan bahasa itu terutama dalam kalangan murid-murid di luar bandar.

“Dengan cara ini, kita dapat meningkatkan keupayaan mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kerana penguasaan bahasa itu masih lemah dalam kalangan anak-anak bangsa kita sendiri,”ujar beliau.

Pada majlis yang sama juga, Tunku Puteri Intan Safinaz melahirkan rasa gembira dan terharu kerana ini kali pertama beliau berucap sebagai Pro-Canselor UUM.

KAKAK MENGAMBIL IJAZAH ADIK YANG MENINGGAL DUNIA SEBELUM KONVO


Oleh: Nazhirah Awang
Gambar oleh: Abdul Halim Husin

UUM ONLINE: “Ini merupakan hadiah hari lahir yang paling bermakna buat saya,” kata Haslinda Noordin, 31, kakak kepada Allahyarham Nurul Akma Noordin, graduan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, yang menerima skrol itu bagi pihak adiknya di Majlis Konvokesyen Ke 25,Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam.

Haslinda menerima skrol itu bagi menggantikan adiknya, Nurul Akma yang tidak sempat  menerima skrol itu dalam Majlis Konvokesyen Ke 24, 2011 kerana meninggal dunia pada 26 September 2011  tahun lalu akibat pendarahan di kepala.

“Lebih menyedihkan kami sekeluarga kerana segala persiapan akhir untuk majlis konvonya pada tahun lalu seminggu sebelum pemergiannya,” jelas Haslinda yang merupakan pekerja swasta di Johor Bahru.

Dalam masa yang sama, bapa kepada Nurul Akma, Noordin Tumpang  pula menyifatkan ketiadaan anaknya sebagai kehilangan yang sangat berharga buat mereka sekeluarga.

“Beliau bercita-cita untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana namun Tuhan lebih sayangkannya,” kata yang sebak ketika diminta mengulas mengenai impian anaknya itu.

“Saya kuatkan juga semangat untuk hadir pada majlis ini bagi menghargai usaha selama empat tahun arwah berada di UUM untuk menamatkan pengajiannya,” katanya.

MAJLIS PESTA KONVOKESYEN 2012 DIJANGKA MERIAH


Oleh: Nazhirah Awang
Gambar oleh: Abdul Halim Hussin

UUM ONLINE: Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen 2012, Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 3 Oktober 2012 dijangka di sambut dalam keadaan meriah berbanding pada tahun-tahun sebelum ini.

Pesta konvokesyen ini diadakan bagi meraikan seramai 7669 graduan yang bakal bergraduat pada Konvekesyen Ke-25 mulai 6 hingga 10 Oktober 2012.

Majlis perasmian akan di sempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Dato’ Paduka Abdul Rahman Ibrahim.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung pada malam pesta perasmian seperti persembahan tarian ‘Overture’, persembahan laser, dan penyampaian  ‘Mock Cheque’ bernilai RM 147 000 yang di sumbangkan oleh syarikat Celcom, Unic Liner Sdn. Bhd dan Kumpulan Media Karangkraf.

Menurut Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Profesor Madya Dr. Mohd Amy Azhar, pada pesta perasmian kali ini, pihaknya berusaha untuk mengurangkan jurang antara pelajar dan tetamu kehormat dengan mencipta beberapa kelainan baru seperti pentas utama diletakkan berhampiran dengan track.

“Sebanyak 195 buah gerai jualan akan dibuka sepanjang pesta berlangsung iaitu sebanyak 42 buah gerai daripadanya adalah melibatkan seramai 400 orang pelajar sebagai usahawan muda,” tambahnya lagi.

Sementara itu, pelbagai aktiviti lain akan diadakan sepanjang pesta konvokesyen seperti pertandingan debat, melukis potret,pertandingan memasak dan perlawanan bola sepak antara alumni dan veteran UUM.

Bertemakan “Graduan Berinovatif”, pesta konvokesyen akan turut diserikan dengan Faizal Tahir, Adira, dan Awie sebagai artis jemputan.