Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil
Gambar oleh: Shamsaimi Ezil
UUM ONLINE: Bilangan
graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menerima Ijazah Doktor Falsafah
(PhD) dan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) pada Majlis Konvoksyen Ke-25 UUM
pada 2012 meningkat lebih sekali ganda berbanding konvokesyen pada 2011.
Pada sesi pertama konvokesyen yang berlangsung pagi tadi, seramai
132 graduan telah menerima PhD dan 23 graduan menerima DBA berbanding pada
tahun lalu, hanya seramai 69 orang menerima PhD dan empat orang menerima DBA.
Jumlah peningkatan ini dapat mengukuhkan hasrat UUM untuk menjadi
Universiti Pengurusan Terkemuka dengan melahirkan ramai graduan yang
memiliki PhD, selaras dengan ucapan Pro Canselor UUM, Tan Sri Datuk Seri Dr
Abdul Hamid Pawanteh mengenai kepentingan rakyat berpendidikan tinggi.
Dalam ucapan itu, beliau turut menyentuh peranan yang
dimainkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi supaya menarik lebih ramai rakyat
Malaysia melanjutkan pengajian ke peringkat kedoktoran dan mereka perlu diberikan
insentif dalam bentuk pembiayaan.
Beliau berkata, peruntukan yang besar perlu diberikan kepada
Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bukan hanya untuk membiayai kakitangan
akademik belajar di luar negara tetapi juga menggalakkan mereka meneruskan
pengajian dalam negara secara agresif.
“Usaha ini memerlukan mobilisasi besar-besaran dan ia mengambil
masa kerana penyelidikan bukan bentuk perniagaan yang terbatas.
“Adalah diyakini bahawa jika pendekatan ini berhasil, kita
akan dapat memastikan ribuan tenaga pengajar di IPTA dan Institusi Pengajian
Tinggi Swasta (IPTS) mempunyai kelayakan PhD dan dapat menyelia
sekurang-kurangnya tiga pelajar kedoktoran pada satu-satu masa,”
ujar beliau
ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.
Katanya lagi, peluang ini haruslah dibuka seluas-luasnya kepada
semua kakitangan dalam sistem pendidikan dari universiti hinggalah ke kolej
komuniti malah kepada para graduan yang mempunyai inisiatif untuk memajukan
diri demi kerjaya dan juga masa depannya.
Ujar beliau lagi, banyak manfaat yang boleh diperoleh sekiranya
dapat memperkasakan IPTA dan IPTS dengan program pascasiswazah yang berkualiti.
“Apabila kita telah menyasarkan 60 peratus jumlah tenaga pengajar
di IPTA mesti mempunyai ijazah kedoktoran menjelang 2015, kita mungkin terpaksa
meluaskan pendekatan sedia ada.
“Akhirnya ialah menghantar seramai mungkin tenaga akademik ke
universiti di luar negara dan ini memberi implikasi kewangan yang sangat
besar,” tambah beliau lagi.
Dalam pada itu, 987 pelajar bergraduan pada hari ini, iaitu 407
orang pada sesi pertama sebelah pagi dan 580 orang pada sesi kedua sebelah
petang.