PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

RAHSIA PINGAT EMAS CANSELOR


Hamdan dan dua rakannya yang meraih Anugerah Pelajaran Diraja, Ayu Abd Rahman (kiri) dan Stephanie Ng-Hao

Pencapaian akademik yang cemerlang selain aktif dalam aktiviti kokurikulum di peringkat kolej kediaman dan universiti melayakkan Mohamad Hamdan Muhamed Dalha meraih Pingat Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-23 2010, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Anak muda yang gemar melayari Internet ini nyata mempunyai rahsia tersendiri mengenai bagaimana dia menguruskan rutin hariannya, sama ada untuk belajar dan bersosial hingga membolehkannya memperoleh anugerah tertinggi dalam bidang akademi itu.

Enam semester raih Anugerah Dekan

Hamdan, 24, yang mengambil jurusan Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dengan Kepujian pada semester Julai 2006/2007, dilahirkan pada 16 Mac 1987 di Banting, Selangor.

Anak kepada pekebun dan suri rumah, Muhamed Dalha Mod Judi dan Jamilah Haji Sinong ini mendapat pendidikan menengah di SAM, Unwanus Saadah, Kanchong Darat di Banting, Selangor.

Dia seterusnya mengorak langkah ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dengan mengambil bidang perakaunan sebelum melanjutkan pengajian di UUM dalam jurusan kewangan dan perbankan Islam.

Sepanjang pengajian selama tiga tahun di UUM, Hamdan berjaya mengekalkan pencapaian akademik cemerlang dengan memperoleh Peratus Markah Kumpulan (PMK), 3.89 pada semester akhir pengajiannya.

Bukan itu saja, dia juga tidak pernah gagal memperoleh Anugerah Dekan sepanjang tempoh enam semester terdahulu bermula Julai 2006/2007 hingga Disember 2008/2009.

Hamdan ketika ditanya mengenai rahsianya belajar hingga meraih kejayaan cemerlang menyatakan segalanya bergantung kepada pemahaman seseorang pelajar itu dalam memahami ilmu yang diperoleh daripada pensyarah dan sumber lain.

"Apabila kita mendapat sesuatu ilmu pengetahuan, kita kena terjemahkan kepada ayat sendiri.

"Walaupun ia fakta, kita kena bergantung kepada pemahaman kita. Jika kita tidak faham satu-satu ilmu itu, maka ilmu tersebut tidak sampai," katanya.

Selain akademi, Hamdan turut aktif dalam aktiviti kokurikulum dan kemasyarakatan di kampus dilantik sebagai AJK Biro Kerohanian bagi Program TM Wonderful Creation sebagai Bendahari bagi program gotong-royong Dewan Penginapan Pelajar (DPP) TM pada sesi akademik 2007/2008.

Pada sesi sama juga dia dipilih menjadi AJK bagi program Hari Terbuka DPP TM dan pelbagai aktiviti lain di peringkat universiti.

Pada semester berikutnya, Hamdan dipilih mengemudi Biro Logistik dan Teknikal bagi program 4Aces TM Lan Party dan Pengarah bagi Program Doktor FM2 for FABS Finance and Banking Society (FABS).

Suka Internet

Hamdan menyatakan dia bukanlah termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa berkepit dengan buku-buku.

Malah, dia mengakui minatnya adalah melayari Internet untuk mendapatkan pelbagai maklumat dalam memastikan dirinya sentiasa peka dengan perkembangan terkini.

"Saya bukan setakat melayari laman web seperti Facebook, tetapi laman web yang kerap saya layari sekarang ialah yang ada kaitan dengan dunia perbankan. Tambahan lagi, ia ada kena mengena dengan kerjaya saya sekarang.

"Daripada perbandingan maklumat yang diperoleh, saya akan dapat menstrukturkan idea untuk keperluan orang awam," katanya.

Menurutnya, latihan praktikal di Suruhanjaya Sekuriti Malaysai (SSM) membuka peluang pekerjaan kepadanya apabila dia terus ditawarkan berkhidmat untuk Bank Simpanan Nasional (BSN) sebaik saja tamat pengajian di UUM.

"Tiada istilah menganggur dalam hidup saya kerana saya terus bekerja selepas tamat latihan praktikal," katanya yang kini bertugas di ibu pejabat BSN, Kuala Lumpur sebagai Eksekutif Perkhidmatan Pembayaran.

Sementara itu, tunang Hamdan, Nurhidayah Azizan, 24, yang menemaninya ke majlis konvokesyen itu berkata, tunangnya itu seorang yang sangat fokus ketika belajar,

terutama ketika dalam kelas dan langsung tidak terkejut dengan anugerah yang diperolehnya itu.

"Setakat yang saya kenal, dia seorang yang sangat penyabar dalam menghadapi apa jua masalah.

"Namun, antara perangai peliknya yang saya perasan ialah dia masih boleh ingat apa yang dipelajarinya walaupun sedang bermain games. Misalnya, sambil asyik main tu, dia akan cakap apa saja yang dia belajar sebelum itu," katanya.

Selain Pingat Emas yang diperoleh dalam majlis konvokesyen kali ini, dia juga pernah mendapat pengiktirafan pihak universiti atas kecemerlangannya dalam bidang akademik pada majlis konvokesyen sebelum ini seperti Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Pingat Emas Naib Canselor dan Pingat Emas Bank Rakyat.

No comments:

Post a Comment