DJ Uniutama FM sentiasa menemani warga kampus dengan menyampaikan informasi terkini
Oleh Gan Yong Li
Foto Zamarizul Salleh
SELEPAS sekian lama menanti, radio Uniutama FM kembali aktif dalam menyampaikan informasi terkini mengenai isu-isu semasa kepada warga kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).
Dengan menggunakan tagline, Informasi Minda Anda, radio di bawah bimbingan Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM ini membolehkan semua warga kampus UUM mendengar radio kampus secara online.
Berbekalkan kekuatan 26 juruhebah (DJ), Uniutama FM mula ke udara seawal jam 10 pagi sehingga 3 petang sepanjang hari bekerja.
Presiden Kelab Penyiaran, Zaim Zainal, 23, berkata, trend mewujudkan stesen radio di kampus bukanlah perkara janggal di negara ini.
"Justeru, kita juga tidak mahu ketinggalan untuk mengharungi fasa yang sama dan mengambil inisiatif untuk kembali aktif dalam berkongsi pendapat dengan warga kampus.
"Melalui medium ini juga, kami dapat mengasah bakat pelajar yang terpendam dengan melatih mereka supaya kemahiran yang diperoleh dapat digunakan ketika bekerja kelak.
Menurutnya, setiap hari, DJ bertugas akan melunaskan tugas yang diberi dengan mengendalikan segmen berlainan dalam bahasa Melayu dan Inggeris seperti Tahukah Anda, Motivasi Diri, Celik IT, Sukan dan Budaya.
"DJ juga akan menyampaikan informasi mengenai aktiviti-aktiviti kampus yang akan berlangsung. Contohnya, semasa Majlis Konvokesyen UUM ke-23, radio ini ke udara sepanjang minggu graduasi berlangsung sambil DJ menyampaikan apa saja aktivitii yang dijalankan, ” katanya.
Apa yang membanggakan, penyampai radio Uniutama FM terdiri daripada pelbagai bangsa, termasuk luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Somalia.
"Kami bangga kerana memiliki DJ dari luar negara dan sanggup berkorban masa serta berkongsi pengalaman kepada warga kampus.
"Sesuai dengan UUM yang dihuni pelbagai lapisan etnik, radio kami memahami kehendak itu dengan menyiarkan lagu daripada pelbagai negara. Saya berharap radio ini boleh dijadikan stesen radio alternatif untuk semua dan boleh berdiri seiring dengan radio-radio kampus lain.
Asah bakat
Nadia Liyana Roslin atau Elle, 23, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, mula berkecimpung sebagai DJ sejak awal 2009 berikutan minatnya yang mendalam dalam dunia penyiaran.
"Tujuan saya jadi DJ ialah untuk mengasah lagi bakat yang ada selain ingin menjadikan ayah sebagai mentor kerana dia juga seorang penyampai radio tempatan. Sebelum memulakan tugas, saya akan membuat persediaan awal dengan menyediakan skrip dan buat penyelidikan terhadap isu yang ingin dibincangkan.
"Selain itu, saya sering berlatih bercakap seorang diri untuk memastikan penyampaian kelancaran ketika menyampaikan maklumat.
Nadia berkata, tidak semestinya saya mengikuti program perniagaan, saya tidak berpeluang mendalami bidang lain seperti komunikasi atau undang-undang. Mahasiswa perlu bijak meneroka peluang. Inilah yang dilakukan bagi memastikan saya mendapat nilai tambah kemahiran yang mungkin tidak mampu diperoleh menerusi program diikuti.
Chew Chee Yan, 20, yang memiliki suara lunak, adalah antara DJ popular yang sering menjadi pilihan pendengar Uniutama FM.
Walaupun berbangsa Cina, dia langsung tidak kekok bersama DJ lain sebagai perantara bagi menyampaikan apa saja maklumat mengenai universiti.
"Ini adalah kali pertama saya jadi DJ. Selepas mendapat latihan PBS, saya menjadi bertambah yakin ketika mengendalikan peralatan dalam konti dan segmen dalam bahasa Inggeris.
Baginya, meskipun sibuk dengan pelajaran, ia bukan alasan untuk tidak mempelajari sesuatu yang baru dan bergembira dengan apa yang dilakukan.
"Ini adalah titik permulaan kepada saya. Saya berharap radio ini mampu mendapat sokongan warga kampus dan masyarakat luar," katanya.
Menurutnya, Uniutama FM boleh didengar secara online menerusi laman web, http://uniutamafm.uum.edu.my.
No comments:
Post a Comment