PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Monday, November 29, 2010

PESTA KONVO UUM MERIAH

Pro-Canselor UUM, Tun Datuk Sri Dr Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim (kiri) bersama Naib Canselor, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak menaiki beca mengelilingi stadium UUM.

Oleh Gan Yong Li

Lebih 4,000 orang membanjiri Kompleks Sukan Universiti Utara Malaysia (UUM) sempena majlis perasmian Pesta Konvo ke-23 Sidang Kedua 2010, baru-baru ini.

Majlis malam itu dimeriahkan dengan perarakan beca dari Pulau Pinang, basikal tua, persembahan artis jemputan, Tomok, Pasukan Akrobatik Motosikal Wira Merah dari Kor Polis / Tentera Diraja, perarakan pelajar dari Dewan Penginapan Pelajar (DPP) dan percikan bunga api.

Pro-Canselor UUM, Tun Datuk Sri Dr Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim merasmikan pesta konvo yang bertemakan ‘1Malaysia: Mahasiswa Bersatu’.

Beliau ketika berucap di majlis perasmian itu bangga dengan komitmen semua warga kampus yang bertungkus-lumus menjayakan pesta konvo dan merealisasikan tema perayaan kali ini.

"Penyertaan kontinjen perbarisan dalam pakaian kebangsaan daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan negara sudah cukup untuk membuktikan bahawa bukan saja bidang akademik yang disandarkan mahasiswa, tetapi jalinan hubungan dan budaya," katanya.

Terdahulu, Naib Canselor Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, penyertaan dan persembahan yang ditampilkan pada majlis perasmian pesta konvo kali ini mengambil kira cita rasa generasi muda.

Raikan kejayaan

Beliau berharap pelbagai aktiviti yang diaturkan itu dapat menggembirakan pengunjung yang datang ke UUM, selain memberi peluang kepada pihak ibu bapa pelajar menyaksikan sendiri sambutan yang diadakan untuk meraikan kejayaan anak-anak mereka mendapat segulung ijazah.

Seorang siswi UUM, Nur Syawariza Mohamad Hisham, 23, berkata, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya kerana dapat merasai kemeriahan pesta konvo kali ini.

"Banyak pembaharuan dan kelainan yang ada pada pesta konvo kali ini. Acara perbarisan mendapat sambutan menggalakkan dengan membabitkan penyertaan pelajar pelbagai kaum.

"Saya harap budaya ini dapat diteruskan agar kita dapat hidup dalam keadaan harmoni dan aman," katanya.

Sementara itu, pelajar antarabangsa, Raji Ridwan berkata, 23, turut sependapat dengan Syawariza dan mengakui pesta konvo kali ini memberi peluang kepadanya untuk mengenali kepelbagaian budaya masyarakat negara ini.

"Banyak kejutan yang disajikan kepada penonton yang hadir hingga membuatkan kami ternanti-nanti pertunjukan daripada Kor Polis/Tentera Diraja.

"Pesta seperti ini harus diteruskan bagi meraikan graduan yang sudah tamat pengajian. Ia dapat memperkenalkan UUM kepada orang ramai," katanya yang berasal dari Nigeria.

No comments:

Post a Comment