Oleh: Azahar Kasim
Gambar Oleh: Shamsaimi Ezil
Universiti adalah tempat terbaik untuk melahirkan graduan yang berwibawa, berkebolehan serta mampu bersaing dengan penuh elemen intelektual dalam dunia yang penuh persaingan pada hari ini.
Wakil graduan, Samsia Samsi berkata, pusat pengajian tinggi juga mampu memberi tambah nilai kepada graduan serta membuka ruang untuk mempelajari bidang dan kemahiran baru.
“Kejayaan ini adalah kejayaan kita tetapi ia adalah hasil keras yang diciptakan oleh diri kita sendiri dan pensyarah yang tidak jemu-jemu mendidik anak bangsa untuk menjadi warga negara berilmu dan bertanggungjawab.
“Ibu bapa pula adalah insan-insan tidak kenal penat lelah untuk berusaha mendapat sumber kewangan bagi menyara pengajian di universiti, jasa mereka harus dikenang,” katanya ketika berucap mewakili graduan di Majlis Konvokesyen Ke-23, Sidang Kedua, Sesi Kelima dan Keenam, di sini, hari ini.
Beliau yang juga graduan Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian berkata, sesungguhnya pengorbanan para pensyarah, ibu bapa dan sanak saudara amat dihargai kerana kejayaan ini adalah kejayaan bersama.
“Hari ini kita berbeza dengan hari pertama kita memasuki universiti yang dikatakan penuh dengan debaran dan cabaran serta dibelenggu dengan ketidaktentuan dalam setiap keputusan yang dibuat.
“Bagaimanapun, hasil dorongan dan sokongan ibu bapa serta pensyarah kita dapat melalui semua perubahan dan cabaran itu dengan jayanya sebelum bergelar graduan di universiti ini,” katanya.
Samsia yang kini bertugas sebagai wartawan penyiaran SelangorFM di Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) berkata, perubahan ini membolehkan semua graduan memainkan peranan penting dengan menyumbang ilmu yang dipelajari di universiti kepada masyarakat sekaligus menjadi warga negara yang bertanggungjawab memakmurkan negara. - Petikan daripada Unit Komunikasi Korporat.
No comments:
Post a Comment