







SEBUAH BLOG YANG MEMAPARKAN SAAT-SAAT INDAH DALAM KEHIDUPAN SEORANG MAHASISWA YANG AKHIRNYA DIGELAR GRADUAN DENGAN MERANGKUL SEGULUNG IJAZAH!
DJ Uniutama FM sentiasa menemani warga kampus dengan menyampaikan informasi terkini
Oleh Gan Yong Li
Foto Zamarizul Salleh
SELEPAS sekian lama menanti, radio Uniutama FM kembali aktif dalam menyampaikan informasi terkini mengenai isu-isu semasa kepada warga kampus Universiti Utara Malaysia (UUM).
Dengan menggunakan tagline, Informasi Minda Anda, radio di bawah bimbingan Pusat Budaya dan Seni (PBS) UUM ini membolehkan semua warga kampus UUM mendengar radio kampus secara online.
Berbekalkan kekuatan 26 juruhebah (DJ), Uniutama FM mula ke udara seawal jam 10 pagi sehingga 3 petang sepanjang hari bekerja.

Presiden Kelab Penyiaran, Zaim Zainal, 23, berkata, trend mewujudkan stesen radio di kampus bukanlah perkara janggal di negara ini.
"Justeru, kita juga tidak mahu ketinggalan untuk mengharungi fasa yang sama dan mengambil inisiatif untuk kembali aktif dalam berkongsi pendapat dengan warga kampus.
"Melalui medium ini juga, kami dapat mengasah bakat pelajar yang terpendam dengan melatih mereka supaya kemahiran yang diperoleh dapat digunakan ketika bekerja kelak.
Menurutnya, setiap hari, DJ bertugas akan melunaskan tugas yang diberi dengan mengendalikan segmen berlainan dalam bahasa Melayu dan Inggeris seperti Tahukah Anda, Motivasi Diri, Celik IT, Sukan dan Budaya.
"DJ juga akan menyampaikan informasi mengenai aktiviti-aktiviti kampus yang akan berlangsung. Contohnya, semasa Majlis Konvokesyen UUM ke-23, radio ini ke udara sepanjang minggu graduasi berlangsung sambil DJ menyampaikan apa saja aktivitii yang dijalankan, ” katanya.
Apa yang membanggakan, penyampai radio Uniutama FM terdiri daripada pelbagai bangsa, termasuk luar negara seperti Indonesia, Thailand dan Somalia.
"Kami bangga kerana memiliki DJ dari luar negara dan sanggup berkorban masa serta berkongsi pengalaman kepada warga kampus.
"Sesuai dengan UUM yang dihuni pelbagai lapisan etnik, radio kami memahami kehendak itu dengan menyiarkan lagu daripada pelbagai negara. Saya berharap radio ini boleh dijadikan stesen radio alternatif untuk semua dan boleh berdiri seiring dengan radio-radio kampus lain.
Asah bakat
Nadia Liyana Roslin atau Elle, 23, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa, mula berkecimpung sebagai DJ sejak awal 2009 berikutan minatnya yang mendalam dalam dunia penyiaran.
"Tujuan saya jadi DJ ialah untuk mengasah lagi bakat yang ada selain ingin menjadikan ayah sebagai mentor kerana dia juga seorang penyampai radio tempatan. Sebelum memulakan tugas, saya akan membuat persediaan awal dengan menyediakan skrip dan buat penyelidikan terhadap isu yang ingin dibincangkan.
"Selain itu, saya sering berlatih bercakap seorang diri untuk memastikan penyampaian kelancaran ketika menyampaikan maklumat.
Nadia berkata, tidak semestinya saya mengikuti program perniagaan, saya tidak berpeluang mendalami bidang lain seperti komunikasi atau undang-undang. Mahasiswa perlu bijak meneroka peluang. Inilah yang dilakukan bagi memastikan saya mendapat nilai tambah kemahiran yang mungkin tidak mampu diperoleh menerusi program diikuti.

Chew Chee Yan, 20, yang memiliki suara lunak, adalah antara DJ popular yang sering menjadi pilihan pendengar Uniutama FM.
Walaupun berbangsa Cina, dia langsung tidak kekok bersama DJ lain sebagai perantara bagi menyampaikan apa saja maklumat mengenai universiti.
"Ini adalah kali pertama saya jadi DJ. Selepas mendapat latihan PBS, saya menjadi bertambah yakin ketika mengendalikan peralatan dalam konti dan segmen dalam bahasa Inggeris.
Baginya, meskipun sibuk dengan pelajaran, ia bukan alasan untuk tidak mempelajari sesuatu yang baru dan bergembira dengan apa yang dilakukan.
"Ini adalah titik permulaan kepada saya. Saya berharap radio ini mampu mendapat sokongan warga kampus dan masyarakat luar," katanya.
Menurutnya, Uniutama FM boleh didengar secara online menerusi laman web, http://uniutamafm.uum.edu.my.

AYU...Amalkan 3 prinsip dalam pembelajaran.
SINTOK: Walaupun pernah kecewa dengan keputusan peperiksaan pada semester pertama, Ayu Abdul Rahman,27, tersenarai sebagai pelajar terbaik dan menerima anugerah Timbalan Naib Canselor dalam majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) ke-23 di Dewan Muadzam Shah, di sini.
Keputusan yang kurang memuaskan pada semester pertama tidak mematahkan semangatnya untuk memperbaiki kualiti pembelajarannya melalui tiga prinsip yang menjadi rahsia kecemerlangannya iaitu watch, written, understand, yang diamalkan sepanjang pengajian di UUM.
"Apa yang diajar oleh pensyarah jika didengar dengan tekun kita akan fahami dengan sebaik mungkin malah memudahkan proses pembelajaran.
“Tapi tidak kira betapa kuatnya usaha kita kadang-kalanya matlamat akan tersasar dari arah sepatutnya,” katanya.
Kecemerlangan yang diperoleh adalah hadiah paling besar kepada kedua orang ibubapanya yang sentiasa mendoakan dan memberi dorongan sepanjang pengajiannya di UUM.
"Teringat saya ketika melihat keputusan peperiksaan di dalam portal, ibubapa saya melonjak kegembiraan apabila melihat keputusan saya cemerlang dan melepasi target, itu adalah pengalaman paling berharga buat saya dan merupakan hadiah paling istimewa untuk kedua ibubapa”, jelasnya lagi.
Beliau berbesar hati kerana berpeluang mengunjungi negara luar untuk menyertai beberapa pertandingan matematik peringkat antarabangsa seperti di Tehran dan Thailand anjuran College of Arts and Sciences (CAS), selain dapat bertukar-tukar pandangan dengan pelajar lain.
“Pengalaman saya sepanjang berada di Tehran, sangat memberi makna yang mendalam kepada diri kerana ketika itu pelajar universiti sedang mengadakan rusuhan, saya berasa sangat bertuah kerana universiti di Malaysia selamat daripada kegiatan tersebut” jelasnya.
Apabila ditanya berhubung rahsia kejayaannya, beliau menjelaskan bahawa sebagai seorang pelajar perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai sasaran yang diharapkan selain pengurusan masa belajar dengan betul.
“Seminggu sebelum menjelang peperiksaan saya akan memastikan semua subjek telah habis diulangkaji,” katanya.
Beliau yang kini berkhidmat di UUM sebagai tutor dalam bidang Matematik Perniagaan merupakan salah seorang pelajar yang menerima anugerah Timbalan Naib Canselor dalam majlis konvokesyen Universiti Utara Malaysia ke-23.
Tan Sri Datuk Mohamed Jins Shamsuddin
Sintok: Majlis penyerahan Ijazah kepada para graduan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berjalan dengan lancar pada hari pertama sempena konvokesyen ke-23 UUM.
Bertempat di dewan Muadzam Shah (MAS), seramai 4,553 graduan termasuk 52 graduan daripada lima program telah melahirkan graduan sulung yang menerima Ijazah masing-masing pada sidang pertama konvokesyen terbabit.
Mereka terdiri daripada dua penerima Ijazah Kehormat, tiga graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 29 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 683 graduan Ijazah Sarjana, 22 graduan Diploma Siswazah Sains Koreksional, 3759 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 55 graduan Diploma Lepasan Ijazah (Diploma Pendidikan) yang menerima Ijazah mengikut sesi yang telah ditetapkan.
Sebanyak lima program telah melahirkan graduan sulung pada Majlis Konvokesyen ini melalui program Doktor Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Sains Perakaunan, Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani, Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Sarjana Muda Teknologi Media.
Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga merupakan Canselor UUM dan Sultanah Kedah berkenan untuk menyempurnakan majlis tersebut pada sesi pertama.