Oleh Mohd Azhan Othman dan Foto Nooratikah Ab Rahim
Vokal mantap dan pengalaman menyertai Pertandingan Bintang Asli Remaja RTM Kebangsaan 2008 memberi kelebihan buat anak muda kelahiran Taiping, Perak, Fazli Awang, 21, apabila meraih gelaran juara Pertandingan Akhir Bintang UUM di Pentas Utama Tapak Pesta Konvokesyen, Universiti Utara Malaysia.
Persembahan Fazli, yang turut merangkul Anugerah Vokal Terbaik, nyata memukau perhatian pihak juri dan hadirin yang hadir dengan lagu Sampai Syurga, nyanyian Faizal Tahir, sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM500 dan piala iringan.
Pelajar jurusan Sarjana Muda Keusahawanan itu menyatakan kemenangan pada malam itu adalah di luar jangkaan kerana saingan daripada 10 finalis lain yang tidak kurang hebatnya.
"Saya sangat teruja malam ini. Memang tak sangka boleh menang kerana semua peserta hebat-hebat belaka," katanya.
Apabila ditanya sama ada dia berminat mengembangkan bakat nyanyiannya itu dengan menyertai program realiti TV, Fazli berkata, dia belum terfikir untuk serius dalam bidang nyanyian dan apa yang dilakukannya kini lebih kepada sekadar minat.
"Saya cuma minat menyanyi dan kadang-kadang saya keluar karaoke bersama kawan-kawan. Setakat ini, belum terfikir mahu serius dalam bidang ini," katanya.
Naib Johan jatuh kepada pelajar jurusan Pentadbiran Muamalat, Nor Azilawati Ahmad yang membawa pulang wang tunai RM300 dan piala iringan, manakala Nora Amila Roslan menduduki tempat ketiga dengan meraih wang tunai RM200 dan piala iringan. Anugerah Khas Juri pula diberikan kepada Muhammad Fauzi Daud.
Walaupun hujan lebat, suasana sepanjang pertandingan berlangsung tetap meriah dengan kira-kira 300 orang, kebanyakannya pelajar UUM memenuhi sekitar pentas pertandingan.
Pertandingan malam tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian hasil gabungan suara artis popular tanah air seperti Zahid, Didie, Hazama dan Faris Awan yang juga pelajar UUM cawangan Kuala Lumpur.
Sebelum itu, penonton dihiburkan dengan persembahan deklamasi puisi oleh dua pelajar UUM dan tarian daripada kumpulan Bidasari UUM.
Program anjuran Pusat Budaya dan Seni (PBS) itu, yang bermula pada 30 Oktober hingga 2 November bertujuan mengangkat nilai kebudayaan negara dan menanam jati diri dalam kalangan mahasiswa UUM.
Malah, acara malam itu juga diadakan bagi merancakkan lagi aktiviti sepanjang minggu pesta konvo UUM kali ke-23, tahun ini yang membabitkan 4,190 penerima ijazah.
No comments:
Post a Comment