PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

GRADUAN LUAR NEGARA TERIMA IJAZAH

Wang Fei dan dua ahli keluarganya dari China

Oleh Muhammad Amsyari Ismail dan Gan Yong Li

Foto Nooratikah Ab Rahim

Menuntut ilmu di rantau orang bukan penghalang kepada seorang graduan untuk memiliki segulung ijazah walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga tersayang.

Dian Mariesta, 22, adalah antara graduan dari Indonesia yang menamatkan pengajian dan mendapat Ijazah dalam jurusan Sarjana Muda Teknologi Media pada Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke- 23 Sidang Kedua, tahun ini.

Dia menasihatkan mahasiswa supaya sentiasa berfikiran positif dalam melakukan apa jua perkara selain tidak mudah berputus asa.

"Saya tidak ada sebarang rahsia belajar. Perkara paling penting ialah percaya dan yakin kepada diri sendiri.
"Apabila yakin, kita pasti boleh melakukannya walaupun menghadapi pelbagai rintangan semasa belajar. Semua itu lumrah semasa menuntut ilmu.

Dian berkata, sebelum menghadapi peperiksaan dia biasanya akan memberikan sepenuh tumpuan kepada ulang kaji pelajaran lebih awal.

"Jika tidak faham sesuatu subjek, saya akan berbincang dengan rakan-rakan dan pensyarah agar segala persoalan yang timbul boleh dijawab," katanya.

Menurutnya, sepanjang menuntut di UUM, dia pernah tiga kali mendapat Anugerah Dekan.
Apabila berjauhan dengan keluarga, baginya, rakan-rakan adalah teman belajar dan berhibur untuk mengubat rindu kepada insan tersayang di kampung halaman.

"Mereka sentiasa beri sokongan dan sudi berkongsi ilmu untuk memastikan kami berjaya menjadi graduan cemerlang.

Dian turut menasihatkan mahasiswa luar negara supaya lebih berani berkomunikasi dan berdikari dengan orang sekeliling ketika di rantau orang.

“Saya harap pelajar antarabangsa dapat gunakan peluang diberikan ini untuk menjadi graduan cemerlang dan terbilang," katanya.

Kagum

Seorang lagi graduan asing yang menerima sijil pada Majlis Konvokesyen ke-23, Sidang Kedua, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini ialah Wang Fei, 23, yang berasal dari Xian, China.

Dia yang menerima Ijazah Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian menyuarakan rasa kagumnya dengan fasiliti dan sikap mesra tenaga pengajar serta budaya ilmu yang diamalkan sepanjang empat tahun mengikuti pengajian di UUM.

"Kemudahan di sini amat bagus. Pensyarahnya baik dan mesra. Mereka banyak bantu saya, terutama dalam mempelajari Bahasa Inggeris yang menjadi medium pengantara di bilik kuliah.

"Suasana tenang di sini juga amat sesuai untuk belajar,” katanya.

Fei kini terus membuktikan kesetiaan terhadap UUM apabila melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana dalam bidang sama.

"Permohonan saya untuk meneruskan pengajian Sarjana sudah diluluskan. Saya berharap dapat sekali lagi ke pentas utama. Kali ini untuk menerima Ijazah Sarjana pula,” katanya.

No comments:

Post a Comment