PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

STEPHANIE BUAT NOTA SENDIRI

Stephanie bersama ibu bapa dan dua adiknya

Gadis petah, Stephanie, yang turut meraih anugerah sama dengan rakan sekampusnya, Ayu, berkata, nota yang ditulis sendiri adalah rahsia bagaimana dia berjaya memahami sesuatu subjek yang dipelajari, sekali gus membantunya menjawab soalan setiap kali tiba hari peperiksaan.

"Apabila pensyarah beri kuliah, kita biasanya akan tulis nota dalam buku teks. Tetapi, saya akan buat nota sekali lagi dan gabungkan maklumat dalam buku teks yang siap ditulis nota hasil kuliah pensyarah.

"Jadi, apabila tiba hari peperiksaan, saya tidak akan sentuh langsung buku teks. Saya cuma hafal dan baca nota yang dibuat sendiri itu," katanya.

Bagi gadis kelahiran Kuala Lumpur (KL) ini, nota yang ditulisnya sendiri itu banyak membantunya mengingati subjek-subjek yang dipelajari dan dia menyarankan mahasiswa turut melakukan perkara sama sebagai persiapan menjelang musim peperiksaan.

Stephanie mendedahkan minatnya bukanlah membaca seperti yang biasa dilabelkan banyak pihak terhadap pelajar yang cemerlang pencapaian akademiknya.

"Hobi saya bukan membaca. Saya suka dengar muzik pelbagai genre, terutama muzik era 90-an. Saya juga suka menyanyi," katanya sambil ketawa.

Stephanie dilahirkan pada 3 Disember 1986 di KL dan memulakan pengajian menengah di St John Institution di ibu kota.

Dia kemudian melanjutkan pengajian peringkat tinggi di UUM bermula Semester Julai 2006/2007 dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian.

Apa yang mengkagumkan, sepanjang tempoh pengajian, Stephanie layak mendapat Anugerah Dekan bagi tujuh semester berturut-turut dan menamatkan semester akhir dengan mencatatkan PMK 3.83.

Dalam bidang kokurikulum, gadis lincah ini pernah dipilih menyandang jawatan Ketua Biro Promosi bagi program Spring Festival Semester II 2008/2009, AJK Biro Tugas Khas bagi program Hope Days for Marketing Society 2008/2009, AJK Pelaksana bagi program Christmas Night 2008/2009 dan AJK Biro Protokol dalam Business Marketing Prom Nite 2009.

Dia kini berkhidmat sebagai Pelatih Pengurusan di Pemanis Sandilands Sdn Bhd, sebuah syarikat yang bertanggungjawab dalam penjenamaan barangan dan aktiviti yang ada kaitan dengan produk berjenama seperti Pepsi, Gatorade, 7-Up dan Mirinda.

Bapa kepada Stephanie, John Ng Kim Hao dan ibunya, Christine Chee Seck Won nyata gembira dengan kejayaan diraih anak mereka itu sambil menyifatkan anugerah tersebut diperoleh atas hasil usahanya sendiri.

"Hati ibu bapa mana yang tidak bangga dan teruja apabila anak sendiri mendapat anugerah dan keputusan cemerlang dalam akademik," kata Christine.

"Sejak kecil kami sudah didik dan pupuk sifat membaca serta meluangkan masa bersama untuk mengulang kaji pelajaran. Bagaimanapun, kami hanya mendidik, tetapi dia perlu bergantung kepada dirinya sendiri dan kami sekeluarga sentiasa beri sokongan penuh terhadap apa saja perkara dilakukannya," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment