PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

TIGA PRINSIP BANTU AYU CEMERLANG

Ayu dikucup ibu tersayang

Oleh Mohd Azhan Othman dan Gan Yong Li

Walaupun berbeza latar etnik dan budaya, Ayu Abdul Rahman, 24, dan Stephanie Ng-Hao, 24, masing-masing sependapat bahawa usaha gigih adalah rahsia terbaik untuk bergelar pelajar cemerlang.

Kedua-dua gadis bijak itu adalah dua siswi Universiti Utara Malaysia (UUM) yang layak menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja pada Sidang Kedua, Majlis Konvokesyen ke-23, UUM, baru-baru ini.

Ayu, yang dilahirkan pada 11 Ogos 1986, sah bergelar graduan Sarjana Muda Matematik Perniagaan dengan Kepujian semasa Sidang Pertama Majlis Konvokesyen ke-23 pada 27 hingga 29 Mac lalu.

Anak kedua daripada lima adik-beradik itu mendapat pengajian peringkat menengah di Maktab Rendah Sains Mara Pulau Pinang sebelum memilih UUM sebagai destinasi menara gading pada Semester November 2006/2007.

Selain anugerah akademi yang diperolehnya pada majlis konvokesyen itu, Ayu sebelum itu pernah menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik dari Dewan Penginapan Pelajar (DPP) Petronas, selain terpilih menyertai The 10th International Scientific Olympiad (Mathematics) yang berlangsung di Tehran, Iran.

Dalam aktiviti kokurikulum, dia pernah menjawat jawatan Naib Presiden Kelab Renang bermula Semester Julai dan November 2008/2009.

Anugerah diterima anak jati Alor Setar itu dibuat berdasarkan pencapaian cemerlangnya dalam akademik yang mana dia meraih Anugerah Dekan bagi lima semester sepanjang tempoh pengajian selain mendapat Peratusan Markah Kumpulan (PMK) 3.92 pada semester akhir.

Menurut Ayu, dia mengamalkan tiga prinsip, iaitu lihat, tulis dan faham sebagai rahsia kecemerlangannya sepanjang menuntut ilmu di bumi Sintok ini.

"Kita akan faham apa yang diajar pensyarah jika kita dengar dengan tekun. Malah, cara ini memudahkan proses pembelajaran," katanya.
Pencapaian akademik cemerlang itu melayakkan Ayu menerima Pingat Emas Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) dan Hadiah Tunas Bestari pada sidang pertama majlis konvokesyen lalu.

Kecemerlangannya itu turut mengundang tawaran kerja dari pihak Kolej Sastera dan Sains (CAS) sebagai tutor yang mengajar bidang digemarinya, Matematik Perniagaan.

Ayu ketika diminta menyampaikan pesanan kepada mahasiswa menasihatkan mereka supaya gigih berusaha untuk mengecap kecemerlangan selain tidak berputus asa dalam pembelajaran.

"Berusahalah. Saya bertuah kerana dapat melanjutkan pengajian dalam bidang yang bersesuaian dengan minat saya. Mungkin ada antara adik-adik junior yang tidak bernasib baik seperti saya. Namun, apa situasi sekalipun, jika kita tidak berusaha, kita akan gagal mencapai apa-apa. Lagi satu, jangan putus asa," katanya.

Ayu kini bakal melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Kedoktoran (PhD) di Amerika Syarikat universiti luar negara pada tahun depan.

No comments:

Post a Comment