PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, October 26, 2010

PESTA KONVO JADI TARIKAN PENGUNJUNG

Oleh Gan Yong Li

JABATAN Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) telah menyediakan 132 gerai sempena dengan Pesta Konvo sempena Majlis Konvokesyen Ke-23 Sidang Kedua bermula 29 Oktober sehingga 2 November bertempat di Padang Kawad Universiti Utara Malaysia (UUM).

Gerai berkenaan terdiri daripada 14 gerai bunga, 58 gerai makanan dan minuman serta 60 gerai lain-lain disediakan termasuk pameran dan gerai yang dibuka oleh pelajar UUM sendiri.

Urusetia Pesta Konvo, Hazizi Haron, berkata pelbagai aktiviti disusun bagi memeriahkan suasana minggu konvokesyen UUM itu.

“Kementerian Pertanian & Insdustri Asas Tani turut serta mengadakan pameran untuk memberi peluang mahasiswa mengetahui lebih dekat mengenai peluang kerja yang disediakan.

“Antara aktiviti lain seperti Pertandingan Bintang Karaoke, rentak Juara, sukan dan kebudayaan turut disediakan oleh pihak penganjur,” katanya.

Pro Canselor UUM, Tun Ahmad Fairus Abdul Majid akan merasmikan Pesta Konvo pada 29 Oktober.

Beliau berkata, beberapa artis jemputan juga akan hadir untuk mengadakan persembahan istimewa sebagai meraihkan majlis para graduan serta konvokesyen itu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek Pesta Konvo, Akbal Singh Sandhu, berkata seramai 192 mahasiswa terbabit menjayakan Pesta Konvo kali ini.

“Kita sudah membuat persediaan sejak beberapa bulan lalu supaya segala perancangan yang telah dirancang dapat dijalankan dengan lancar.

"Pesta itu menjadikan segala yang mustahil satu kenyataan. Pelbagai pameran dan persembahan Tatu Tentera Darat, Wira Merah turut disediakan kepada orang ramai dan ia menjadi kenangan paling manis bukan saja kepada pelajar terbabit malah orang ramai yang datang ke pesta berkenaan.

“Pesta Konvo kali ini ada sedikit kelainan daripada sebelum ini kerana kami menyediakan skrin besar yang akan menayangkan empat buah filem untuk tontonan penonton yang hadir.

“Saya berharap Pesta Konvo kali ini akan mendapat sambutan lebih meriah daripada warga kampus walaupun pada ketika itu mereka sibuk mengulangkaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan,” katanya yang juga Exco Kebajikan Kolej Undang-undang, Kerajaan & Pengajian Antarabangsa.

No comments:

Post a Comment