PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

70 PERATUS GRADUAN UUM DAPAT KERJA

Sebanyak 70 peratus graduan Universiti Utara Malaysia (UUM) mendapat pekerjaan sebaik saja menamatkan pengajian mereka di universiti ini berikutan kejayaan mereka menguasai Bahasa Inggeris dan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

Naib Canselor UUM, Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, kajian menunjukkan seramai 2,000 daripada 2,768 graduan dari universiti ini mendapat pekerjaan ataupun melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam tempoh enam bulan.

"Sempena konvokesyen ini, UUM sudah melakukan kajian pengesanan graduan atau pun ‘graduate tracer study’. Saya ingin berkongsi sebahagian daripada penemuan kajian ini.

"Pertamanya, daripada seramai 2768 graduan yang memberikan maklum balas, seramai 2,000 orang atau 72.2 peratus memaklumkan mereka sudahpun mendapat pekerjaan ataupun melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di bawah tempoh enam bulan," katanya.

Menurutnya, kajian mendapati pencapaian akademik dan penguasaan Bahasa Inggeris adalah dua faktor utama dalam menentukan graduan mendapat pekerjaan.

"Seramai 79 peratus graduan dengan Purata Markah Keseluruhan (PMK) atau CGPA melebihi 3.00 mendapat pekerjaan berbanding dengan hanya 58 peratus dengan PMK kurang daripada 3.00 yang mendapat pekerjaan," katanya.

Beliau berkata, keputusan itu sangat mengembirakan kerana ia melebihi sasaran yang diharapkan kerana UUM sedang berusaha keras untuk melahirkan graduan berkualiti.

"Ini kerana dalam konteks universiti, masyarakat menilai kualiti sesebuah universiti itu daripada aspek kualiti graduan dihasilkan secara langsung yang ada kaitan dengan penerimaan majikan terhadap graduan tersebut.

"Justeru, setiap universiti perlu menghasilkan graduan berkualiti dan mempunyai ciri-ciri kebolehdapatan pekerjaan," katanya.

Mustafa ketika berucap di Majlis Konvokesyen ke-23, Sidang Kedua berkata, kejayaan yang dicapai dalam pasaran kerja dan berjaya mendapat segulung ijazah ini semestinya menjadi kebanggaan kepada graduan dan universiti.

Pada majlis konvokesyen ini, seramai 4,190 graduan terdiri daripada seorang graduan Ijazah Kehormat, 52 graduan Ijazah Doktor Falsafah, tujuh graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 657 graduan Ijazah Sarjana, 2,906 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 567 graduan Diploma Lepas Ijazah (Diploma Pendidikan).

Kejayaan ini ialah satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan dalam perjalanan hidup graduan. Namun, ia tidak seharusnya menjadi penamat kepada potensi besar yang masih ada dalam diri graduan yang perlu dibangunkan bagi mencapai banyak lagi kejayaan lain yang lebih besar dalam kehidupan.

Mustafa berkata, UUM juga sedang berusaha memberi impak dalam semua program akademiknya bagi memastikan kewujudan UUM dapat dirasai dan dilihat oleh masyarakat, iaitu menerusi kejayaan graduan universiti berkenaan.

"Saya dan seluruh warga UUM menaruh harapan yang sangat tinggi kepada graduan untuk terus bekerja lebih gigih mencipta kejayaan dalam apa jua bidang kerjaya yang akan diceburi agar memberi impak yang turut sama dapat dirasai oleh UUM,” katanya.

Pada masa sama, Mustafa menegaskan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) mempunyai peranan yang kritikal bagi menyediakan landasan ke arah meningkatkan daya saing negara di peringkat global melalui penyampaian pendidikan dan latihan yang berkualiti, berkesan, relevan dan mempunyai komitmen yang tinggi kepada pembelajaran sepanjang hayat.

"Tenaga kerja masa hadapan dan IPT perlu bersedia menghadapi cabaran globalisasi, persaingan yang sengit dan perubahan teknologi terkini. Berhadapan dengan cabaran tersebut dan berpandukan aspirasi negara serta kekuatan dasar yang sedia ada, UUM juga mengorak langkah seiring dengan hasrat negara dalam membangunkan IPT ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.

"Pelbagai usaha dan perancangan rapi sedang giat dijalankan bagi memastikan matlamat itu dicapai. Ini kerana era globalisasi yang membawa bersamanya persaingan baru yang terbuka luas telah mengubah lanskap dan ekosistem pengajian tinggi dengan begitu drastik. Ia menuntut supaya kita semua mementingkan aspek kualiti, inovasi dan kecemerlangan dalam semua perkara.

"Semua IPTA harus sentiasa membuat penambahbaikan bermula dari aspek kriteria kemasukan pelajar, pengukuhan kurikulum khasnya dengan mengambil kira keperluan industri dan pasaran, peningkatan kualiti pengajar serta aspek kemahiran pedagogi, termasuk penyediaan infrastruktur yang berfungsi dan mencukupi," katanya.

Justeru, UUM perlu mengorak langkah dengan cepat untuk seiring dengan semua pesaingnya yang lain dengan pendekatan menjadikan bidang pengurusan sebagai niche area atau teras kekuatan akademik kita dan seterusnya menjadikan universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka yang boleh memberi impak besar kepada pengajian tinggi negara," katanya.

No comments:

Post a Comment