PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

SESI 5, 6 MAJLIS KONVOKESYEN BATAL

Banjir buruk, jalan ke UUM terputus hubungan

Prof Mustafa meninjau keadaan cuaca di Dewan MAS

Oleh Muhammad Amsyari Ismail dan Gan Yong Li

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihak UUM memohon maaf kepada graduan dan keluarga masing-masing kerana terpaksa membatalkan sesi kelima dan keenam Sidang Kedua Majlis Konvokesyen Ke-23 selepas mengambil beberapa faktor keselamatan akibat banjir dan cuaca buruk.

Pengurusan UUM memutuskan menangguhkan majlis konvokesyen pada 2 November apabila mendapati jalan utama ke UUM terputus hubungan.

"Ramai kakitangan UUM dan majoriti graduan serta keluarga mereka tidak dapat hadir ke konvokesyen ini kerana berdepan masalah akibat banjir.

"Memang sukar untuk membuat keputusan, tetapi selepas mengambil kira pandangan dan maklumat daripada polis, pasukan keselamatan dan rakan-rakan sekeliling, kami pihak UUM terpaksa menangguhkan juga konvokesyen sesi kelima dan keenam.

"Kalau diteruskan juga, kami khuatir banyak masalah akan timbul. Memang ada segelintir keluarga dan graduan kecewa dengan keputusan ini. Tetapi, pihak kami perlu membuat keputusan demi kebaikan dan keselamatan semua pihak terbabit," katanya ketika ditemui sedang meninjau keadan di Dewan Muadzam Shah (MAS).

Menurutnya, pihak UUM akan memilih satu tarikh lain untuk mengadakan majlis konvokesyen kepada mereka yang terlibat.

"Majlis konvokesyen mungkin akan diadakan dalam masa dua atau tiga bulan dari sekarang. Tarikh masih belum dapat ditentukan, tetapi dewan yang sama akan digunakan," katanya.

Akur


Seramai 1,373 graduan, yang terdiri daripada 831 pelajar dari Kolej Sastera dan Sains (CAS) dan 543 dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) terpaksa menangguhkan hasrat mereka berkonvo buat sementara waktu.

Mohamed Mustafa berkata, graduan tidak akan dikenakan caj bayaran dua kali untuk jubah akademik apabila majlis konvokesyen akan datang.

"UUM beri peluang kepada graduan terlibat mengambil transkip dan skrol mereka di Dewan Tan Sri Othman. Mereka juga diberi peluang mengambil gambar di dewan untuk kenangan.

"Kami sudah merancang sebaik mungkin untuk majlis konvokesyen ini. Tetapi apakan daya, keadaan tidak mengizinkan. Jika diteruskan juga, kemeriahannya tidak sama. Paling utama ialah keselamatan semua hadirin yang terlibat," katanya lagi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi, Leng Chih Ying, 23, tidak dapat menyembunyikan kerisauannya kerana hujan tidak berhenti sejak hari pertama majlis bermula.

"Saya sedikit kecewa apabila mendapat berita menyatakan konvokesyen sesi kelima dan keenam kali ini terpaksa ditangguhkan. Bagaimanapun, saya akur dengan keputusan dibuat selepas mendapat penjelasan daripada Naib Canselor," katanya.

Sementara itu, waris pelajar, Mohamed Saballah Taib, 55, terpaksa melupakan hasrat untuk melihat anaknya menaiki pentas menerima ijazahsebaik saja dimaklumkan mengenai penangguhan itu.

"Memang saya kecewa. Tetapi, saya reda dengan keputusan dibuat UUM demi keselamatan semua pihak terbabit. Saya berharap universiti dapat menentukan tarikh yang lebih sesuai untuk mengadakan majlis konvokesyen ini," katanya.

No comments:

Post a Comment