PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, March 30, 2010

KONVOKESYEN UUM KE-23 BERJALAN LANCAR

Oleh: Norzaini Bahaludin
Foto Oleh: Gan Yong Li


Tan Sri Datuk Mohamed Jins Shamsuddin

Sintok: Majlis penyerahan Ijazah kepada para graduan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berjalan dengan lancar pada hari pertama sempena konvokesyen ke-23 UUM.
Bertempat di dewan Muadzam Shah (MAS), seramai 4,553 graduan termasuk 52 graduan daripada lima program telah melahirkan graduan sulung yang menerima Ijazah masing-masing pada sidang pertama konvokesyen terbabit.

Mereka terdiri daripada dua penerima Ijazah Kehormat, tiga graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan, 29 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 683 graduan Ijazah Sarjana, 22 graduan Diploma Siswazah Sains Koreksional, 3759 graduan Ijazah Sarjana Muda dan 55 graduan Diploma Lepasan Ijazah (Diploma Pendidikan) yang menerima Ijazah mengikut sesi yang telah ditetapkan.

Sebanyak lima program telah melahirkan graduan sulung pada Majlis Konvokesyen ini melalui program Doktor Pentadbiran Perniagaan, Sarjana Sains Perakaunan, Sarjana Muda Sains Pengurusan Perniagaan Tani, Sarjana Muda Pengurusan Operasi dan Sarjana Muda Teknologi Media.

Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga merupakan Canselor UUM dan Sultanah Kedah berkenan untuk menyempurnakan majlis tersebut pada sesi pertama.


Manakala, sesi kedua dan ketiga disampaikan oleh Pro-Canselor II, Tun Datuk Sri Dr Ahmad Fairuz Datuk Sheikh Abdul Halim.

Bagi sesi keempat dan kelima, majlis telah disempurnakan oleh Pro-Canselor I, Tan Sri Datuk Seri Dr Abdul Hamid Pawanteh.

Menurut Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr Nordin Kardi konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 73 graduan yang mendapat Ijazah Kelas Pertama iaitu 39 graduan dari UUM College of Business (UUM COB), 33 graduan dari UUM College of Arts and Scineces (UUM CAS) serta seorang graduan dari UUM College of Law, Government and International Studies (UUM GOLGIS).

"UUM COB melahirkan 1,736 graduan, UUM CAS 1,435 graduan manakala seramai 643 graduan dari UUM COLGIS," kata Nordin .

UUM juga turut menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keusahawanan) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation, Tan Sri Datuk Muhammad Ali Hashim dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Teknologi) kepada Pengerusi KLIA Premier Holdings Sdn Bhd Prof Tan Sri Datuk Ir Jamilus Md. Hussien.

"UUM turut berbangga kerana Seniman Negara yang juga pelakon, penggiat seni dan pengarah filem, Tan Sri Datuk Mohamed Jins Shamsuddin turut memeriahkan konvokesyen apabila berjaya menamatkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah Kebudayaan selama lebih dua tahun di UUM," tambahnya.

Jins atau nama sebenarnya Mohamed Zain Shamsuddin, berjaya menyiapkan tesis bertajuk Filem Melayu 1930-an hingga 1960-an Sebagai Citra Budaya dan Sejarah Negara.
Dalam pada itu, Karnival Konvokesyen bermula pada 25 hingga 29 Mac ini yang bertemakan "Keusahawanan Pemangkin Pembangunan Ekonomi Negara" telah dikendalikan oleh UUM COB.

No comments:

Post a Comment