PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

AMALAN SUNAT TIP AMALINA


Amalina diapit ayah dan bonda di luar Dewan MAS, UUM

Oleh Muhammad Amsyari Ismail

"Saya merancang melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di universiti ini dan berhasrat menjadi pensyarah di sini," kata penerima Pingat Emas Naib Canselor, Noor Amalina Mat Yusof ketika ditemui pada Majlis Konvokesyen ke-23, Sidang Kedua, Universiti Utara Malaysia (UUM), baru-baru ini.

Pada majlis sama graduan Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dengan Kepujian ini turut menerima anugerah Hadiah Buku Tunas Bestari.

Amalina, 23, mengakui amat selesa menuntut di UUM kerana persekitarannya yang hijau memberi ketenangan kepadanya untuk belajar.

"Persekitaran pengajian amat kondusif. Malah, kami, siswa dan siswi turut mendapat sokongan kuat daripada pensyarah yang begitu komited.

"Pensyarah sentiasa berada di belakang kami memberi sokongan dalam menuntut ilmu. Mereka tidak lokek dalam menghulurkan pertolongan. Saya juga bercita-cita menjadi pensyarah dengan harapan dapat pula menurunkan ilmu yang diperoleh kepada pelajar lain di sini," katanya.

Apabila ditanya mengenai tip belajar, anak jati Kuala Terengganu ini mengakui banyak melakukan amalan sunat seperti solat sunat Dhuha selain memperbanyakkan bacaan surah Al-Mathurat.

"Amalan-amalan ini dapat memberi ketenangan jiwa dalam mencari ilmu," katanya.

Amalina menyifatkan majlis konvokesyen ini sebagai hari paling bersejarah bagi dirinya itu sepanjang bergelar pelajar UUM. Apatah lagi, dia turut diberi penghormatan menjadi wakil pelajar untuk memberi ucapan pada sesi keempat majlis.

Sementara itu, bapa Amalina, Mat Yusof Ismail, 50, meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas kejayaan anak gadisnya itu.

"Sukar untuk gambarkan perasaan kami, suami isteri. Kami sekeluarga sentiasa mendoakannya agar terus gigih menuntut ilmu dan berharap dia tidak berhenti setakat ini saja.

"Jika boleh, biarlah dia terus belajar hingga ke peringat Ijazah Kedoktoran (PhD) dan dapat merealisasikan impiannya bergelar seorang pensyarah," katanya penuh gembira.

2 comments:

  1. Tip yg baik noor amalina....sy doakan amalina dpt PhD dan jd pensyarah suatu hari nnti....keep it up k....

    ReplyDelete
  2. Kami dari web blog konvo sentiasa akan memaparkan detik-detik kegembiraan graduan UUM untuk di kongsi bersama. TAHNIAH...

    ReplyDelete