PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, November 30, 2010

AMIR TIDAK PERNAH PUTUS ASA

Amir di samping ibu dan bapa

Oleh Gan Yong Li

Kecemerlangan akademik dan kokurikulum hanya akan dapat dicapai menerusi komitmen dan kerja keras selain perlu bijak membahagikan masa tanpa banyak mengeluh.

Ini dibuktikan sendiri oleh Amir Syaffiq Hamzah, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Perniagaantani apabila dia dipilih sebagai penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-23, Sidang Kedua, Universiti Utara Malaysia (UUM).

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, resepi kejayaannya ialah sentiasa komited dan tidak mudah berputus asa dengan apa saja perkara yang dilakukan.

"Bagi saya tiada yang lebih indah selain mencapai kejayaan ini. Apatah lagi saya memang bertekad supaya keluarga berbangga dengan pencapaian saya.

"Walaupun sibuk dengan akademik, saya juga aktif dalam persatuan dan badan-badan pelajar. Semua ini tidak menghalang saya menjadi pelajar cemerlang.

"Jika tidak faham sesuatu subjek, saya akan bertanya kepada pensyarah dan mereka tidak lokek memberi tunjuk ajar. Paling penting, kita jangan malu bertanya walaupun berulang kali hingga kita akhirnya betul-betul faham,” katanya.

Amir yang turut merangkul Anugerah Khas Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni berkata, selain belajar bersendirian ketika lewat malam, dia juga tidak suka menangguhkan kerja.

"Jangan ponteng ke kelas kerana kita akan ketinggalan berbanding pelajar lain," katanya.

Menurutnya, dia akan cuba membantu rakan dengan mengajar subjek yang tidak difahami mereka subjek. Ini secara tidak langsung akan membuatkan dirinya lebih mahir dalam satu-satu subjek.

Dia, yang pernah mendapat empat kali Anugerah Dekan sepanjang pengajian berkata, keluarga adalah penyumbang besar kepada kejayaannya hari ini kerana tidak jemu memberi sokongan dan nasihat sepanjang belajar di universiti ini.

"Walaupun berjauhan dengan keluarga, mereka selalu menelefon bertanya khabar dan mengetahui perkembangan akademik saya di sini. Saya sangat terharu dengan sokongan kuat diberikan dan berharap mahasiswa di luar sana agar hormat dan taat kepada ibu bapa.

"Sebagai graduan UUM, saya turut berharap UUM akan terus maju untuk melahirkan gradua-graduan yang bukan saja cemerlang di segi akademik, tetapi juga kokurikulum dalam usaha menjadikan UUM sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka," katanya yang pernah menyandang jawatan Presiden Jawatankuasa Pembangunan Mahasiswa Bank Rakyat.

No comments:

Post a Comment