PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Saturday, March 12, 2011

KONVOKESYEN UUM HANYA SEKALI SETAHUN? - PETIKAN DARIPADA UTUSAN MALAYSIA

SAYA merupakan bekas pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) yang telah menamatkan pengajian termasuk latihan praktikum pada 30 September 2010. Saya akan menerima ijazah di majlis konvokesyen yang sepatutnya diadakan Mac ini jika mengikut kelazimannya.

Bagaimanapun khabar angin bertiup kencang mengatakan bahawa mulai tahun 2011 UUM akan mengadakan majlis konvokesyen hanya sekali setahun iaitu pada bulan Oktober. Saya mendapatkan kepastian daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) tetapi mereka menafikan dan menjawab itu hanya khabar angin.

Saya kemudian merujuk pula Jabatan Hal Ehwal Akademik. Mereka mengesahkan konvokesyen hanya akan diadakan pada Oktober tetapi tarikh masih belum ditentukan lagi.

Sekiranya benar keputusan pihak universiti untuk mengadakan konvokesyen hanya sekali setahun, bermakna bakal graduan perlu menunggu setahun untuk berkonvokesyen iaitu setelah tamat praktikum pada penghujung September 2010. Majlis konvokesyen pula Oktober 2011.

Hal ini amat menyukarkan saya memperoleh pekerjaan yang tetap terutama di sektor awam kerana kebanyakan badan kerajaan tidak menerima surat tamat pengajian dan transkrip akademik sementara walaupun dikeluarkan dan disahkan oleh pihak universiti.

Malah permohonan saya untuk mengikuti Kursus Pergurusan Lepasan Ijazah (KPLI) ambilan Januari 2011 juga tidak berjaya hanya kerana saya gagal mengemukan ijazah saya semasa sesi temuduga. Permohonan kedua saya bagi ambilan Jun juga bakal gagal sekiranya majlis konvokesyen hanya akan diadakan pada bulan Oktober.

Saya yakin masalah yang sama akan menimpa bakal graduan yang sepatutnya berkonvokesyen Mac ini. Selain itu, UUM perlu bersedia supaya masalah tidak berulang.

Saya berharap UUM menimbangkan semula keputusan tersebut dan dapat mengadakan majlis konvokesyen Mac ini.

AYU

Puchong, Kuala Lumpur

No comments:

Post a Comment