PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Saturday, March 12, 2011

KONVOKESYEN UUM SETAHUN SEKALI JIMATKAN KEWANGAN - PETIKAN DARIPADA UTUSAN MALAYSIA

Gambar Hiasan

SAYA merujuk kepada surat Ayu dari Puchong, Selangor yang disiarkan dalam ruangan ini bertarikh 1 Mac 2011 bertajuk Konvokesyen UUM hanya sekali setahun?

Pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Senat UUM telah menetapkan Konvokesyen ke-24 UUM pada tahun ini diadakan sekali sahaja, iaitu pada 1 hingga 5 Oktober 2011 tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor UUM.

Ketetapan ini berlandaskan kepada Akta dan Peraturan Akademik (Universiti Utara Malaysia) Bahagian IV Peruntukan-Peruntukan Am di perenggan 47 (1) menyatakan "Konvokesyen untuk menyampaikan ijazah-ijazah hendaklah diadakan secara tahunan, seberapa kerap yang diarahkan oleh Canselor, pada tarikh yang diluluskan oleh Canselor".

Keputusan mengadakan Majlis Konvokesyen sekali setahun diputuskan oleh Mesyuarat Senat Universiti setelah menimbang dengan teliti pelbagai aspek terutamanya, implikasi kewangan, kepentingan pelajar, kalendar akademik, aktiviti-aktiviti tahunan universiti dan tarikh-tarikh bersesuaian.

Kos mengadakan konvokesyen dua kali setahun sangat membebankan UUM daripada segi kewangan dan biaya yang besar terpaksa dikeluarkan setiap kali konvokesyen. Selain itu tumpuan dan masa juga banyak diberikan kepada program ini sehingga membebankan staf dan pentadbiran. Pada masa yang sama mereka terpaksa menumpukan kepada pelbagai perkara lain yang lebih penting untuk mengangkat martabat UUM ke tahap yang lebih tinggi sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.

Walaupun majlis konvokesyen hanya sekali setahun, pelajar yang telah disahkan pengijazahan oleh Senat akan dikeluarkan Surat Tamat Pengajian dan Transkrip Akademik Sementara. Dokumen-dokumen berkenaan boleh digunakan sebagai pengesahan rasmi universiti bagi menggantikan Sijil Ijazah dan Transkrip Akademik asal, sama ada untuk tujuan permohonan pekerjaan, temuduga, permohonan melanjutkan pengajian atau lain-lain kegunaan rasmi berkaitan.

Pemberian Ijazah dan Transkrip Akademik asal kepada graduan hanya akan diberikan semasa Majlis Konvokesyen setelah graduan berkenaan menerima skrol dan memulangkan jubah akademik serta menyelesaikan semua tunggakan hutang dengan universiti.

PENGARAH UNIT KOMUNIKASI KORPORAT

Universiti Utara Malaysia

Sintok, Kedah.

No comments:

Post a Comment