PEMBUKA KATA

Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua graduan Universiti Utara Malaysia

Tuesday, March 31, 2009

Selangkah ke alam kerjaya

Penganugerahan ijazah kepada para graduan merupakan detik yang cukup bermakna dalam hidup mereka kerana selepas ini mereka bakal melangkah ke alam kerjaya yang sudah diketahui banyak cabarannya.

Menurut salah seorang penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dengan Kepujian, Zaki Shahril, 23, penganugerahan ijazah tersebut bukan merupakan satu tiket mudah untuk menempuh alam kerjaya dalam era kemelesetan ekonomi ini.

Zaki yang memilih bidang pengurusan dalam pengajiannya tidak menyangka bahawa bidang pengurusan yang mempunyai banyak pilihan pekerjaan suatu masa dulu semakin diketepikan berikutan masalah kegawatan ekonomi yang melanda dunia hari ini.

Meniti alam pekerjaan bukanlah suatu perkara yang mudah tambahan beliau mendapat ijazah semasa dunia dilanda masalah kegawatan ekonomi. Beliau terpaksa menyesuaikan diri dengan cuba untuk tidak memilih pekerjaan.

“Bukan graduan yang memilih pekerjaan, tetapi kadang-kadang majikan yang terlalu memilih pekerja”, ujarnya yang masih menanti respon positif daripada beberapa syarikat yang pernah ditemuduganya.

Bagi penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia dengan Kepujian, Mahani Mohammad, 24, beliau berasa bahagia dan gembira sekali kerana berjaya menamatkan pengajian.

Namun begitu, debaran dirasakan kerana terpaksa menghadapi alam kerjaya. Mahani yang sudah bekerja di sebuah syarikat di Bangi, Selangor menyifatkan alam kerjaya merupakan alam yang penuh dengan cabaran.

Beliau yang sebelum ini pernah menjalani latihan praktikal di Pelangi Berhad, Johor Bahru, merasa seronok bekerja di syarikat tersebut kerana dapat menimba banyak pengalaman baru.

Masalah politik organisasi menyebabkan beliau menolak tawaran untuk terus diserap bekerja di syarikat tersebut.

“Paling penting adalah cara kita memasarkan diri mengahadapi masyarakat sekeliling”, nasihatnya kepada bakal graduan yang bakal menamatkan pengajian.

No comments:

Post a Comment